Selangorkini
Anggota Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam daerah Langkawi melakukan pemantauan bagi memastikan pelancong mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan di Pantai Chenang pada 20 Mac lalu. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Operasi hotel terhad, pelancong domestik dilarang daftar masuk

SHAH ALAM, 21 MAC: Semua premis penginapan pelancong dibenarkan beroperasi secara minimum sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, maklum Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menjawab soalan lazim, kementerian menjelaskan semua tetamu perlu berada di dalam bilik penginapan sepanjang tempoh perintah kawalan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Katanya, perkhidmatan sajian hanya boleh ditempah melalui servis bilik, manakala penggunaan kolam renang, gimnasium dan spa tidak dibenarkan.

“Proses pendaftaran tetamu ke premis penginapan pelancong bagi tempoh perintah tersebut dibenarkan tetapi dalam skala kecil dan dihadkan.

“Bagi tetamu yang terpaksa memanjangkan tempoh penginapan sepanjang perintah berkuat kuasa, mereka boleh mendaftar masuk ke premis bersesuaian dengan bajet masing-masing,” kata kementerian itu.

Bagaimanapun, jelasnya, pelancong domestik baharu dilarang mendaftar masuk ke premis penginapan sepanjang tempoh tersebut.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang kini mencecah 1,030 kes di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 87 individu yang disahkan positif sebelum ini pulih selepas menjalani kuarantin, manakala tiga kematian dicatatkan.


Pengarang :