AGENSISELANGOR

Pakej Rangsangan Selangor: Unisel alukan insentif, bantuan makanan

SHAH ALAM, 21 MAC: Universiti Selangor (Unisel) mengalu-alukan pemberian insentif sara diri RM200 dan bantuan makanan kepada mahasiswa yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata inisiatif melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 itu memberi kemudahan kepada pelajar dalam menangani kesan wabak.

“Unisel amat mengalu-alukan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 yang diumumkan Kerajaan Negeri. Pihak kami yakin insentif ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, malah membantu menangani kesan Covid-19.

“Unisel turut menyeru semua warga universiti mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) pengawalan penularan jangkitan Covid-19 seperti diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 51 pelajar antarabangsa berada di kolej kediaman Bestari Jaya serta asrama Unisel Shah Alam, manakala selebihnya cuti semester.

“Bagaimanapun, mereka dilayan dengan baik oleh pihak pengurusan kolej dan diberi bekalan secukupnya,” katanya.

Seramai 2,500 mahasiswa Selangor di Sabah dan Sarawak menerima insentif RM200 setiap seorang, manakala penuntut di Unisel, Kolej Universiti Islam Selangor dan Kolej Antarabangsa Inpens yang tidak pulang ke kampung diberi makanan percuma.


Pengarang :