AGENDAEKONOMI

Pasaran getah dijangka terus susut minggu depan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan aliran penurunannya pada minggu depan berikutan kekurangan permintaan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan oleh Thailand dan Indonesia bagi membendung penularan Covid-19.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata ketidaktentuan itu turut menjejaskan jumlah dagangan yang dijangkakan rendah.

“Masih tidak jelas sama ada kerajaan Thailand dan Indonesia akan membenarkan aktiviti menoreh getah dan pergerakan komoditi itu.

“Oleh itu, kami perlu melalui minggu yang tidak pasti dan menyebabkan pasaran akan menjadi lengang (pada minggu depan),” katanya kepada Bernama.

Malah, Low berkata terdapat kecenderungan untuk harga getah mencatat penurunan.

Bagaimana pun, harga itu berkemungkinan meningkat sekiranya ketiadaan aktiviti menoreh akan menyebabkan kekurangan komoditi tersebut.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, 2020.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah mengalami tempoh sukar dengan indeks penanda aras SMR 20 susut ke paras terendah sejak Februari 2016.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 jatuh 49.5 sen kepada 465.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut sembilan sen kepada 415.5 sen sekilogram.

-BERNAMA


Pengarang :