Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) bersalaman selepas sidang media sempena kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera ke atas Ketua Polis Negara di Bukit Aman pada 2 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PDRM, ATM banteras anggota, pegawai terlibat dadah

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berganding bahu dalam melaksanakan pemeriksaan mengejut ke atas anggota kedua-dua agensi keselamatan itu yang disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata anggota yang berpotensi terbabit dengan penyalahgunaan dadah akan dipantau termasuk pengawasan dari sudut tingkah laku bagi memastikan mereka bebas dadah.

Menurutnya, polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan ATM akan bekerjasama menjalankan pemeriksaan mengejut dan usaha itu akan digandakan bagi memastikan anggota bebas dadah.

“Menjadi tanggungjawab polis dan ATM ke atas keselamatan negara dan wajib bagi setiap anggota bersih daripada penyalahgunaan dadah. Tindakan perlu diambil bagi membersihkan nama dua pasukan keselamatan ini daripada terpalit dengan elemen salah iaitu dadah.

“Kalau dilihat dalam PDRM, lebih 300 anggota terlibat dengan dadah dan misi kami adalah memastikan anggota bebas dadah sepenuhnya kerana disiplin anggota adalah penting,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Bukit Aman di sini hari ini.

Kunjungan hormat yang merupakan acara tradisi itu diadakan bagi mengeratkan hubungan dua agensi keselamatan negara selain berbincang mengenai peranan masing-masing dalam menjalankan tugas.

Mengulas mengenai ancaman dadah dalam kalangan anggota ATM, Affendi berkata walaupun penglibatan anggota ATM dengan dadah adalah kecil namun pihaknya tetap memandang serius kerana ia melibatkan keselamatan negara.

“Usaha untuk menghapuskan penglibatan anggota dengan penyalahgunaan dadah dilakukan setiap masa, contohnya dengan melakukan ujian saringan urin dan tangkapan sentiasa dilaksanakan.

“Walaupun diberikan hukuman berat kepada sesiapa yang menyalahgunakan dadah tetapi perkara ini tidak dapat dihentikan seratus peratus…sentiasa ada anggota yang ingin mencuba disebabkan keadaan persekitaran yang berlaku,” kata Affendi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Affendi berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi meneliti semula ketetapan cara pemakaian uniform polis dan ATM bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kami bukan mahu uniform ini sebagai eksklusif untuk ATM atau PDRM tapi perlu faham bahawa pemakaian uniform dan lencana untuk pengawai ada satu kelainan… Kami tidak mahu disalah tafsir,” katanya.

Jelasnya, hasil saranan jawatankuasa tersebut akan diserahkan kepada pihak berwajib selepas selesai kelak.

– BERNAMA


Pengarang :