Proses nyahkuman dikendalikan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari negara berisiko dengan Covid-19. Foto Farhan Sufyan Borhan
AGENDANASIONAL

Pegawai bomba anggap tugas bawa pulang rakyat dari Wuhan mendebarkan

SHAH ALAM, 27 MAC: Pegawai kanan bomba menyifatkan pengalaman membawa pulang 133 rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, China ketika penularan Cobid-19 memuncak di negara itu mencabar lagi mendebarkan.

Penolong pesuruhjaya bomba Farhan Sufyan Borhan yang ditugaskan sebagai komander operasi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) juga menganggap tanggungjawab itu jauh berbeza dengan tugas hariannya.

“Ia berbeza apabila mengendalikan kejadian atau tragedi yang kita boleh lihat di depan mata bukannya seperti wabak yang boleh menjangkiti kita bila-bila masa sahaja tanpa disedari.

“Kami perlu menjalankan proses nyahkuman termasuk pada barangan dibawa penumpang yang kita tidak tahu sama ada ia sudah tercemar dengan virus itu atau tidak, kalau cara pengendaliannya salah mungkin boleh dijangkiti Covid-19,” kata Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM.

Penolong Pesuruhjaya Bomba Farhan Sufyan Borhan yang bertindak sebagai Komander Operasi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) memberi taklimat kepada anggota yang terbabit sebelum proses nyahkuman dan saringan kesihatan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari negara berisiko dengan Covid-19.

Farhan berkata mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang tidak dapat dilihat, dirasa dan disentuh serta boleh membawa maut jika kurang berhati-hati ketika bertugas.

“Persediaan rapi perlu. Kadang-kala mengambil masa sehingga tiga hari bagi proses nyah kuman, saringan kesihatan terhadap penumpang serta barangan dibawa dan mengangkut mereka ke pusat kuarantin ditetapkan dilaksanakan dengan berjaya,” katanya.

Namun, beliau menganggap pengalaman menjadi barisan hadapan dalam operasi berskala besar pada 4 Februari lalu sebagai pengalaman berharga.

“Kita perlu bersedia setiap masa untuk menjalankan misi kerana keadaan tidak menentu memadangkan ia juga memerlukan kelulusan diberikan pihak berkuasa di negara yang rakyat Malaysia terkandas,” katanya.

Selain rakyat Malaysia di Wuhan, HADR sudah membawa pulang warga negara ini daripada Itali, Iran serta India yang terjejas teruk dengan penularan pandemik itu dan kesemuanya perlu dikuarantin selama 14 hari di lokasi disediakan kerajaan.


Pengarang :