AGENDANASIONAL

Pelajar UiTM positif Covid-19

SHAH ALAM, 22 MAC: Seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) disahkan positif Covid-19 selepas dijangkiti melalui bapanya pada Jumaat lalu.

Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata pelajar pengajian jarak jauh tersebut dirawat di Hospital Kuala Lumpur, lapor Berita Harian.

“Bapanya mendapat jangkitan daripada saudaranya yang menyertai perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari lalu.

“Pelajar berkenaan pula menghadiri kuliah pada 15 Mac dan apabila mendapati dirinya disahkan positif Covid-19, dia maklumkan kepada pensyarah,” katanya.

Susulan itu, Dr Mohd Azraai berkata pihaknya melalui Pusat Gerakan Covid-19 dan Pusat Kesihatan UiTM memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kami sudah mengenal pasti kontak rapat mangsa dan mereka sudah menjalankan saringan di Pusat Kesihatan Daerah Kepong.

“UiTM juga sudah melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di kelas dan kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan,” katanya.


Pengarang :