BERITA UTAMA SELANGOR

Pencemaran bau: LRA Sungai Selangor, Rantau Panjang dihentitugas

SHAH ALAM 17 MAC: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihentitugas pada 7 malam, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata henti tugas keempat-empat LRA ini terpaksa dilakukan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

“Sehingga 8 malam, bacaan pencemaran bau masih pada tahap 2 ton,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata Air Selangor telah melaporkan insiden pencemaran itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan lanjut.

Katanya berikutan hentitugas loji rawatan, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah iaitu di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk twitter, facebook, instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Dalam tempoh ini pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat.

Pengguna digalakkan bagi muat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau AppsStore untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.


Pengarang :