ADNSELANGOR

Pergerakan terbatas, penduduk DUN Batu Tiga tunggu bantuan diminta sabar

SHAH ALAM, 29 MAC: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang memohon Bantuan Hantaran Harapan Pusat Khidmat Rakyat diminta bersabar berikutan kumpulan penghantar bergerak dalam keadaan yang terbatas, kata ahli dewan negerinya.

Rodziah Ismail berkata, ia disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan stok barangan yang agak terhad namun setakat ini sudah mengagihkan sumbangan barangan asas dapur kepada kira-kira 300 keluarga di sekitar DUN terbabit sejak 22 Mac lalu.

“Kita juga memohon kepada mereka yang telah menerima bantuan atau masih berkemampuan harap bersimpati dan jangan ambil kesempatan kerana ramai lagi memerlukan sumbangan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sehingga kini, Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata lebih 2,000 permohonan diterima DUN terbabit dan beliau berharap semua bersabar kerana bantuan tetap akan diberikan.

Pada masa sama menerusi program itu, DUN Batu Tiga juga mengambil kira aspek keselamatan dan kebersihan setiap ahli kumpulan penghantar bantuan dengan memakai penutup hidung dan mulut serta semburan cecair pembasmi kuman.


Pengarang :