Ketua Cawangan Faedah Perkeso, Ismail Abi Hashim menyerahkan faedah orang tanggungan kepada Azrina Mohd Mokhtar dan Mokhtarudin Mohamad di Taman Sungai Kapar indah, Klang pada 13 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penerima faedah Perkeso terharu anak cemerlang SPM

KAPAR, 14 MAC: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang maut dalam nahas di Jalan Kapar, Klang di sini, 27 Februari lalu berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan.

Azrina Mohd Mokhtar, 43, ibu kepada arwah Amirul Aiman Mokhtaruddin, 18, berkata sikap tidak putus asa anak sulungnya itu membawa kejayaan apabila dia memperoleh  6A 4B 1C dalam SPM 2019 diumumkan 5 Mac lalu.

“Lebih mengharukan semasa peperiksaan percubaan, arwah gagal subjek Prinsip Perakaunan tetapi bila keputusan SPM keluar arwah dapat A,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sungai Kapar Indah di sini semalam.

Terdahulu, Juru sinar-X Fakulti Pergigian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh bersama suaminya, Mokhtarudin Mohamad Nor, 43, menerima wang faedah pengurusan jenazah serta faedah orang tanggungan ekoran kematian Amirul Aiman ketika bekerja.

Faedah tersebut disampaikan Ketua Cawangan Faedah Ibu Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Ismail Abi Hashim dan Pengurus Perkeso Klang, V Mohanadas yang berkunjung ke rumah ibu bapa arwah.

Sementara itu, Mokhtaruddin menyifatkan anaknya sebagai remaja bertanggungjawab, cukup menyayangi keluarga dan tidak pernah mengingkari arahan.

“Sejak kecil arwah tidak melawan cakap walaupun ada perkara yang dia tidak suka, tetapi dia tetap laksanakan ikut kita suruh,” katanya.

 


Pengarang :