EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud selepas Majlis Perasmian Hari Wanita Peringkat Selangor sempena Ekspo Hasil Suri Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di Shah Alam pada 8 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Penerima KISS disaran sertai kursus asuh anak dari rumah

SHAH ALAM, 9 MAC: Penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) disaran memanfaatkan peluang menyertai Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) sebagai pendedahan awal mengasuh anak-anak kecil di rumah, kata EXCO pemberdayaan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya sedia membantu suri rumah yang berminat menjalani kursus tersebut supaya mereka boleh menjadi pengasuh bertanggungjawab di rumah masing-masing.

“Kebiasaannya, jika (pengasuh) mahu mewujudkan institusi untuk mengasuh anak-anak, mereka perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

“Namun menerusi KIPK, penerima KISS yang berminat tidak perlu melalui JKM atau pihak berkuasa lain,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Wanita Peringkat Selangor sempena Ekspo Hasil Suri Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Siti Mariah berkata, mereka hanya perlu menghadiri kursus tiga hari dua malam untuk diberi pendedahan mengenai ilmu pengasuhan.

“Menerusi usaha ini, mereka dapat menjana pendapatan sampingan dan tidak hanya bergantung dengan bantuan KISS RM200 sebulan,” katanya.

“Kita memperuntukkan RM170,000 untuk KIPK tahun ini manakala setiap program pula mencecah sehingga RM30,000 melibatkan 40 peserta dan peruntukan akan ditingkatkan jika sambutan diterima menggalakkan,” katanya dengan menambah KIPK telah berjaya melahirkan lebih 1,000 peserta sejak diperkenalkan pada 2013.


Pengarang :