EXCOSELANGOR

Penganjuran SIBS 2020 diputuskan Jun – Chang Khim

SHAH ALAM, 31 MAC: Keputusan sama ada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 Oktober depan diteruskan atau tidak akan diputuskan pada Jun, kata exco pelaburan.

Dato’ Teng Chang Kim berkata Kerajaan Negeri perlu menilai faktor semasa sebelum membuat keputusan muktamad termasuk penangguhan acara antarabangsa lain akibat Covid-19.

“Sebagai contoh Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2020 yang sepatutnya berlangsung 1 hingga 4 April telah ditangguhkan kepada 1 hingga 4 September depan.

“Jadi kita perlu melihat banyak aspek sama ada SIBS wajar dianjurkan pada Oktober iaitu sebulan selepas Mihas, selain mengambil kira aspek promosi,” katanya kepada SelangorKini.

SIBS 2020 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang meliputi empat acara besar iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.


Pengarang :