Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengerusi Sime Darby dan Valesto sah positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Pengerusi Sime Darby Berhad (SDB) dan Velesto Energy Berhad Datuk Abdul Rahman Ahmad disahkan positif dalam ujian awal bagi COVID-19.

SDB dan Velesto dalam kenyataan hari ini berkata pengerusi itu ketika ini berada di bawah penjagaan fasiliti kesihatan.

“SDB bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan para pekerjanya, termasuk mengenal pasti secara proaktif sesiapa yang menjadi kontak rapat kepada pengerusi tersebut. Beliau tidak melawat mana-mana premis SDB sejak 18 hari lepas,” menurut kenyataan itu.

Sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi, premis-premis SDB Malaysia akan ditutup mulai esok sehingga 31 Mac, 2020 dan semua pekerja yang berpangkalan di Malaysia akan bekerja secara jarak jauh.

“SDB komited dalam melaksanakan peranannya bagi mengurangkan penularan COVID-19. SDB akan memaklumkan perkembangan selanjutnya apabila terdapat sebarang maklumat baharu,” katanya.

Sementara itu, Velesto Energy Bhd dalam kenyataan berasingan berkata, pengerusi itu tidak berada di premis pejabat di Kuala Lumpur atau bertemu pekerja-pekerjanya sejak 26 Februari, 2020.

Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan telah mengambil langkah pencegahan dan kebersihan di pejabatnya di Kuala Lumpur.

Velesto ketika ini melaksanakan langkah pencegahan yang diperlukan seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

“Bermula 17 Mac, 2020, syarikat telah memulakan program bekerja dari rumah kepada semua kakitangannya yang berpangkalan di ibu pejabat di Kuala Lumpur.

“Langkah ini dibuat bagi mengekang sebarang potensi penyebaran virus itu sekiranya ada, dan melindungi pekerja dan pihak yang mengunjungi premis,” menurut Velesto.

-BERNAMA


Pengarang :