Anggota Angkatan Tentera Malaysia membantu anggota Polis Diraja Malaysia ketika mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Mantin pada 22 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penglibatan tentera, polis ‘gerunkan’ rakyat patuhi perintah kawalan

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan pergerakan rakyat selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan menjadi lebih efektif dan teratur dengan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bermula semalam di seluruh negara.

Malah, penglibatan ATM bagi membantu PDRM pada hari pertama itu bukan sahaja dilihat sebagai ‘menggerunkan’ rakyat bahkan menjadikan penugasan kedua-dua pasukan keselamatan negara lebih mantap.

Langkah berkenaan bertujuan memastikan tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kerajaan itu dapat dipertingkatkan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Tinjauan Bernama di seluruh negara mendapati selain keadaan trafik bergerak lancar di kebanyakan jalan utama terutama di ibu negara dan ibu negeri yang selalunya sesak pada sebelah pagi, laporan berhubung kejadian jenayah juga berkurangan.

Bagi menjayakan usaha itu, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengerahkan sebanyak 7,500 anggota ATM di seluruh negara diatur gerak setiap hari.

Ini dapat dilihat apabila pasukan ATM mula dikerah sekitar tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini dan mereka ditempatkan di beberapa jalan utama sekitar ibu kota termasuk Jalan Sentul Pasar, Manjalara, Jalan Segambut dan Balai Sri Murni, di sini.

Selain itu, di Petaling Jaya, Selangor, 30 anggota ATM iaitu daripada 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, Pahang membantu penugasan PDRM di daerah berkenaan.

Perkara yang sama juga berlaku di Kuching, Sarawak, apabila 134 anggota polis dan 146 anggota ATM ditempatkan di lapan lokasi di sekitar bandar raya itu.

Dalam pada itu di Labuan, 56 anggota ATM memulakan penglibatan mereka dan kesemua mereka diserap masuk bersama 15 kumpulan pemantauan gerak kerja Covid-19 dalam tiga sekatan jalan raya polis yang beroperasi 24 jam.

Begitu juga di Kuantan, 6,500 anggota polis dan 1,500 anggota tentera bertugas dalam memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di Pahang.

Dalam perkembangan sama di Ipoh, Perak, 45 sekatan jalan raya bersama anggota tentera di seluruh negeri dilakukan bagi memastikan masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari mulai 18 Mac lepas.

Di Langkawi, 21 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Markas Wilayah Laut 3, Langkawi akan membantu penugasan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media sebelum ini berkata tentera mula dikerahkan bagi membantu polis melaksana Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu, beliau berkata tentera akan membantu polis di sekatan jalan raya dan rondaan serta di kawasan pasar dan pasar raya bagi memantau pematuhan jarakan sosial.

-BERNAMA


Pengarang :