AGENDANASIONAL

Penyelidik tempatan berjaya hasilkan lassi sawit untuk komersial

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melakar detik bermakna apabila berjaya menghasilkan lassi berasaskan sawit yang cekap kos serta boleh dikomersialkan oleh syarikat tempatan, khususnya perusahan kecil dan sederhana (PKS).

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Nur Haqim Ismail, menghasilkan lassi sawit itu khusus untuk mereka yang mengutamakan aspek kesihatan diri.

Lassi secara tradisinya berasal dari India dan dihasilkan menerusi proses penapaian susu lembu atau kerbau dengan bakteria asid laktik.

“(Produk) lassi berasaskan sawit ini merupakan minuman baharu yang kaya potensi komersial di pasaran tempatan. Ia dihasilkan menerusi usaha pengasidan langsung dan lebih menjimatkan masa berbanding kaedah penapaian secara konvensional,” kata kenyataan MPOB, hari ini.

Penyelidik itu mendapati kaedah menggantikan lemak susu dengan minyak sawit berupaya menghasilkan lassi lebih sihat kerana tiada kolesterol dan lemak tepu.

“Oleh itu, syarikat-syarikat Malaysia boleh mengambil peluang daripada kesempatan ini kerana lassi berasaskan minyak sawit menerusi proses pengasidan langsung itu masih belum ditawarkan atau diterokai di pasaran.

“Sehubungan itu, ia berpotensi besar untuk dikomersialkan di pasaran pada harga lebih kompetitif dengan penerimaan yang jauh lebih baik berbanding lassi komersial,” kata MPOB.

-BERNAMA


Pengarang :