AGENDA JENAYAH

Perbicaraan kes 1MDB Najib disambung minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melibatkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama, akan disambung Selasa minggu depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 10 Mac untuk menyambung perbicaraan kes itu selepas Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya akan memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib terlebih dahulu.

“Pendakwaan mohon perbicaraan kes (1MDB) bersambung Selasa depan,” kata Sri Ram.

Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes 1MDB dan pada masa sama perbicaraan kes SRC International juga bersambung hari ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula berkata pihaknya juga memohon supaya perbicaraan kes 1MDB bersambung Selasa depan berikutan perbicaraan kes SRC telah dijadualkan berlangsung hari ini hingga Khamis.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 2 hingga 13; 19 – 20, 23 – 27; 30 – 31 Mac; 1 – 30 April manakala 4 – 8; 11 – 22 Mei termasuk Jumaat untuk perbicaraan kes 1MDB.

Mahkamah juga menetapkan keseluruhan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk pada Jumaat untuk mendengar kes tersebut.

Pembelaan akan meneruskan pemeriksaan balas saksi utama pendakwaan, bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Feb 2011 dengan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :