AGENDANASIONAL

Perintah kawalan: Malaysia Airlines kurangkan operasi

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Malaysia Airlines mengurangkan operasi rangkaiannya secara menyeluruh susulan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara dari 18 hingga 31 Mac bagi membendung Covid-19.

Menurut syarikat penerbangan itu, ia menggantung penerbangan antarabangsa ke India mulai 17 hingga 31 Mac dan ke Filipina (21 hingga 31 Mac) berikutan larangan perjalanan yang dilaksanakan oleh kerajaan membabitkan perjalanan pergi dan balik dari Malaysia.

Sebelum perintah itu, Malaysia Airlines menggantung perkhidmatan ke Arab Saudi, Korea Selatan, Beijing Daxing termasuk laluan Kota Kinabalu-Shanghai disebabkan kawalan sempadan serta mengurangkan kapasiti ke Australia dan New Zealand berikutan dasar pengasingan dibuat oleh kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata keadaan sekarang, sejak beberapa hari ini adalah tidak menentu sehinggakan syarikat penerbangan tersebut terpaksa membuat pembatalan pada saat-saat akhir bagi mematuhi sekatan.

“Pendekatan tidak diselaraskan ini memberikan cabaran besar terhadap operasi kami, tetapi kami melakukan yang terbaik untuk memindahkan penumpang ke dalam syarikat penerbangan lain. Ini membabitkan kos tambahan ke atas operasi kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia Airlines juga terpaksa menyusun kembali penerbangan muatan rendahnya, sama ada membuat pembatalan atau menggabungkan mereka untuk menguruskan kos, dan pada masa yang sama, menguruskan jangkaan pelanggan. Sehingga ke hari ini, syarikat itu telah membatalkan lebih daripada 4,000 penerbangan.

Sebahagian daripada cabaran ini terpaksa dipikul oleh Pusat Hubungan Antarabangsa Malaysia Airlines, apabila ia menerima 25,000 panggilan sehari dan sehingga 2,000 e-mel setiap hari dalam tempoh tiga minggu.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada penumpang kami, kami amat memahami keadaan yang menyebabkan mereka risau mengenai tempahan mereka. Saya memberi jaminan bahawa kami bukan mengambil kesempatan daripada keadaan sekarang, kami adalah salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan yang telah menawarkan fleksibiliti yang tidak terhad dalam perubahan tarikh perjalanan termasuk pengecualian yuran tertentu.

“Cuma kami terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk memproses setiap permintaan disebabkan oleh jumlah panggilan dan e-mel. Perubahan tempahan juga memerlukan kepakaran khas dalam sistem tempahan global. Oleh itu, ia memerlukan masa untuk kami mengatur semula kakitangan bagi menyokong pusat panggilan kami, ‘ katanya.

Kata Izham lagi, pejabat tiket syarikat penerbangan Malaysia Airlines di Nu Sentral telah ditutup mulai 18 Mac berikutan penutupan pusat membeli-belah di seluruh negara dan ia menggalakkan penumpang dengan tempahan melebihi 48 jam berikutnya untuk memulakan perubahan tempahan secara dalam talian melalui borang bantuan pengecualian COVID-19 di laman sesawang Malaysia Airlines.

Disebabkan oleh pengurangan keupayaan yang ketara, Malaysia Airlines dan semua syarikat yang bernaung di bawah operasi kumpulan itu turut menerima kesan, termasuk pergerakan penerbangan serta operasi lapangan terbang.

Majoriti tenaga kerjanya di peringkat global sedang bekerja dari rumah selaras dengan pelbagai keperluan kerajaan masing-masing bagi memerangi Covid-19.

Ia akan terus mendukung piawaian keselamatan tertinggi dalam keseluruhan operasinya.

-BERNAMA


Pengarang :