AGENDANASIONAL

Perintah kawalan: Perbaharui lesen memandu, insurans dalam talian

SHAH ALAM, 24 MAC: Urusan memperbaharui lesen memandu, lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) boleh dilakukan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata tindakan itu selaras penutupan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah dan Sarawak termasuk perkhidmatan JPJ di pejabat pos bermula 20 sehingga 31 Mac ini.

“Perkhidmatan ini boleh dilakukan melalui laman sesawang MySikap JPJ atau perkhidmatan portal MyEG (hanya untuk perbaharui LKM).

“Orang awam yang tidak memiliki nombor identiti bagi mengakses MySikap JPJ boleh melaksanakan proses pembaharuan menerusi MyEG,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Ka Siong berkata orang ramai yang sudah memperbaharui CDL atau LKM melalui kedua-dua laman sesawang itu tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkannya secara fizikal.

“Bukti pembayaran fi melalui portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti. Justeru, orang ramai diminta tidak tergesa-gesa mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM yang sudah diperbaharui.

“Kebenaran ini hanya untuk kegunaan sepanjang tempoh perintah kawalan sahaja dan perlu mendapatkannya selepas perintah ini ditarik semula,” katanya yang turut memaklumkan pembaharuan insurans boleh dibuat secara dalam talian.


Pengarang :