Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020 pada Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada 25 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perintah Kawalan Pergerakan dilanjut hingga 14 April – PM

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dimulakan 18 Mac lalu dilanjutkan sehingga 14 April ini, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemakluman lanjutan tempoh PKP dibuat lebih awal supaya rakyat lebih bersedia.

Katanya, menerusi taklimat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan trend semasa kes-kes positif Covid-19 baharu masih berlaku.

“Trend ini dijangka berterusan untuk beberapa ketika sebelum menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh masa yang lebih lama.

“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana.

“Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu.

“Pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka sehingga sekarang. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak mengurusnya,” kata beliau dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen hari ini.


Pengarang :