Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 21 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perintah Kawalan Pergerakan: Lapan kerja kritikal diberi pengecualian

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Lapan kerja kritikal dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan diberi pengecualian dan dibenarkan untuk diteruskan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam soalan lazim melibatkan kementerian itu yang dikeluarkan hari ini berkata lapan kerja kritikal berkenaan ialah pembaikan cerun, Pusat Pemantauan Trafik (TMC), kerja naik taraf fasiliti di premis perkhidmatan kritikal dan kerja memastikan keselamatan perancah.

Turut disenaraikan KSK sebagai kerja kritikal ialah kerja memastikan keselamatan kerin menara dan kerin berantai, pembinaan Bailey Bridge di lokasi jambatan roboh, kerja-kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak, dan kerja-kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan bahaya.

Menurut KSM pengecualian diberikan kepada kerja-kerja kritikal berkenaan kerana ia melibatkan kerja-kerja yang jika tidak diteruskan boleh mendatangkan mara bahaya atau kemudaratan kepada pekerja, orang awam atau persekitaran.

Bagaimanapun KSK berkata permohonan perlu dimajukan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk kelulusan sebelum dibenarkan melaksanakan lapan kerja kritikal berkenaan.

Surat rasmi permohonan menjalankan kerja kritikal berkenaan kata KSK perlu disertakan beberapa maklumat penting termasuk nama projek dan lokasi projek, nombor pendaftaran projek dengan JKKP dan nama berserta nombor telefon pengurus projek.

Maklumat lain yang diperlukan ialah nama peserta dan jawatan yang ditetapkan yang mengawasi perjalanan kerja-kerja kritikal tersebut dan salinan surat kelulusan melakukan kerja-kerja kritikal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya.

Permohonan lengkap hendaklah dikemukakan menerusi e-mail ke Pejabat JKKP Negeri di mana projek berada dan serta salinan kepada [email protected] namun permohonan tidak lengkap akan ditolak.

– BERNAMA


Pengarang :