Jalan utama di Pusat Bandar Shah Alam kelihatan lengang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020 sebagai langkah mengekang penularan Covid-19. Foto BERNAMA
BERITA UTAMANASIONAL

Perintah kawalan: PM minta rakyat berada di rumah

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya berada di rumah masing-masing selama tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tegas beliau, dengan cara itu rakyat akan terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularannya dapat dibendung.

“Saya ingin merayu kepada saudara saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” katanya menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan, malam ini.

Katanya, jika dalam tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan.

“Elak melepak di restoran, kopitiam, pusat hiburan atau mana-mana tempat boleh mendedahkan kepada jangkitan Covid-19.

“Kepada ibu-bapa pengantin tolong sangat-sangat batalkan kenduri, akad nikah dahulu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :