AGENDANASIONAL

Perintah Kawalan: SKMM, industri pastikan akses komunikasi cukup

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak industri yang terdiri daripada sektor telekomunikasi, penyiaran, pos dan kurier selain pihak berkuasa pensijilan tandatangan digital komited dalam memastikan kesinambungan operasinya ketika berdepan pandemik Covid-19.

Kenyataan SKMM menyebut penting untuk memastikan rakyat terus memiliki akses kepada perkhidmatan komunikasi meluas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 sehingga 31 Mac.

Bagi telekomunikasi, industri itu memastikan kapasiti jalur lebar mencukupi menampung peningkatan penggunaan oleh pelanggan dan prestasi rangkaian diperhebat di sekitar lokasi kritikal seperti klinik dan hospital.

“Pengendali telekomunikasi meletakkan pelan kesinambungan perniagaan bagi memastikan rangkaian, aplikasi dalam talian dan perkhidmatan pelanggan beroperasi seperti biasa memandangkan kesalinghubungan mudah alih dan tetap akan menjadi sesuatu yang penting pada minggu-minggu akan datang,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengendali terus mengekalkan titik sentuh runcit yang relevan untuk memberikan akses berterusan telekomunikasi kepada orang ramai meskipun ia beroperasi dengan kakitangan dan tempoh operasi minimum serta mengehadkan jumlah pelanggan.

Bagi bidang penyiaran, siaran televisyen dan radio boleh diakses menerusi semua platform. Perniagaan juga digalakkan memanfaatkan saluran beli-belah TV di mana produk tempatan boleh dipasarkan untuk menjana pendapatan tambahan melalui saluran TV seperti Go Shop dan CJ Wow Shop yang boleh didapaati di MyFreeview, platform kandungan yang menawarkan TV1, TV2, TV3, Saluran Berita Bernama, Okey, TV9, NTV7, RTM Bes, Sukan HD RTM, 8TV, TV Al Hijrah dan enam saluran radio.

Bagi perkhidmatan pos dan kurier, Pos Malaysia dan GD Express Sdn Bhd melakukan usaha meneruskan perkhidmatan penghantarannya dengan mengurangkan kontak ketika penghantaran serta meminta pelanggan memaklumkan secara lisan nombor kad pengenalan mereka kepada petugas penghantaran atau menghantar SMS yang meminta pilihan jenis penghantaran.

“Bagi memudahkan penghantaran kepada mereka dikuarantin, petugas penghantaran mungkin meninggalkan barangan di depan pintu rumah penerima terjejas dan berkomunikasi melalui telefon bimbit.

“Sekiranya penghantaran ke alamat sedia ada tidak boleh dilakukan akibat penutupan, Pos Malaysia digalakkan memanfaatkan Lokar Bungkusan atau Ezibox sebagai satu alamat penghantaran alternatif memandangkan perkhidmatan ini boleh didapati di 225 lokasi dengan kapasiti untuk memudahkan penghantaran sejumlah 15,000 barangan,” menurut kenyataan itu.

Bagi pihak berkuasa pensijilan dan digital, Pihak Berkuasa Pemerakuan Berlesen (CA) hendaklah terus memudahkan transaksi digital dipercayai kepada individu daripada sektor awam dan swasta.

“Pihak berkaitan dinasihatkan merujuk kepada laman sesawang CA atau kontak khidmat pelanggan bagi mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan dan bantuan disediakan CA sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu.

SKMM juga berkata rakyat digalakkan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian disediakan semasa di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan pada masa sama, sentiasa merujuk sumber rasmi untuk kemas kini perkembangan berkaitan Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :