Notis pemberitahuan operasi perniagaan ditampal pada pintu masuk sebuah restoran makanan segera ketika tinjauan di Shah Alam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perintah kawalan: Tempahan sama, cuma penghantaran lebih jauh

SHAH ALAM, 18 MAC: Petugas khidmat penghantaran makanan terpaksa bergerak lebih jauh untuk mengambil dan menghantar tempahan pelanggan, apabila vendor berdaftar menghentikan seketika operasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini.

Walaupun jumlah tempahan tidak berkurang, namun mereka perlu bergerak lebih enam kilometer, berbanding dua hingga tiga kilometer sebelum ini untuk menghantar pesanan.

Mujibuddin Munir, 28, berkata keadaan itu dijangka sementara kerana kebanyakan vendor mengambil sikap tunggu dan lihat susulan arahan tersebut.

“Diharapkan keadaan lebih baik selepas ini dan kami dapat beroperasi seperti biasa serta menghantar makanan dengan segera kepada pelanggan.

“Dalam keadaan sekarang kami juga perlu berhati-hati dan meningkatkan tahap kebersihan bagi mengelakkan penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” kata pekerja syarikat GrabFood itu kepada SelangorKini, hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak.

Walaupun restoran dan kedai makan beroperasi seperti biasa, namun pelanggan hanya dibenarkan membungkus atau memesan penghantaran makanan ke tempat masing-masing.


Pengarang :