Yang Dipertua MPKL Mohamad Zain A Hamid (dua kiri) bersama Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim (tiga kiri) melawat beberapa premis perniagaan di sekitar daerah Banting pada hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan pada 24 Mac 2020. Foto ihsan Facebook MPKL
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Perintah kawalan: Tiga PBT Selangor giat jalankan pemeriksaan

SHAH ALAM, 26 MAC: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dilihat semakin agresif melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan bagi memastikan pengusaha tidak melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi status dimuat naik di Facebook memaklumkan semua pemilik gerai sekitar pentadbirannya mematuhi PKP setakat ini.

“Pemantauan di Seksyen 8 hingga 20 mendapati semua gerai mematuhi peraturan dengan tidak menjalankan operasi perniagaan ekoran PKP yang berkuat kuasa mulai 18 Mac,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) diketuai Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid sendiri turun padang menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis perniagaan sekitar daerah berkenaan kelmarin.

“Pemantauan yang disertai Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim bertujuan memastikan peniaga dan pembeli mematuhi arahan berkaitan PKP serta keselamatan diri berhubung wabak Covid-19.

“Antara tempat dilawati adalah Pasar Awam Sungai Jarom, Jenjarom; Pasaraya Econsave, Banting; Pasaraya CLC, Banting; Pasar Awam Banting termasuk Pos Kawalan Pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Olak Lempit,” kata MPKL dalam hantaran di Facebook.

Tinjauan di Facebook Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) pula mendapati pihaknya giat memantau pematuhan PKP bagi waktu operasi premis perniagaan pasar awam dan borong.

“Kita turut melaksanakan sistem penggiliran pembeli bagi memastikan orang awam mengekalkan penjarakan sosial (social distancing) di antara satu sama lain.

“Premis yang dilawati antaranya Pasar Awam Sepang (bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang); Pasar Awam Sungai Pelek (bersama Yang Dipertua MPSepang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan serta PKD Sepang) termasuk Pasar Awam Dengkil (bersama Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSepang dan Jabatan Sukarelawan Malaysia),” katanya.


Pengarang :