AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perkeso mahu perluas khidmat pemulihan satelit ke seluruh negara

GEORGE TOWN, 4 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merancang untuk membuka lebih banyak pusat rehabilisasi satelit di seluruh negara bagi menampung keperluan golongan yang menggunakan kemudahan tersebut.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata Pusat Rehabilitasi Tun Abdul Razak di Melaka kini sesak dan terdapat pekerja yang cedera diberikan tempoh menunggu sehingga tiga bulan sebelum berpeluang menggunakan kemudahan di situ.

“Dalam perancangan, tidak lama lagi kita akan mempunyai (pusat rehabilitasi satelit) di Lembah Klang, Terengganu, Johor dan kita juga berharap akan mempunyai pusat rehabilitasi di pusat beli-belah,” katanya ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan di Universiti Sains Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata terdapat kebimbangan yang disuarakan pemegang taruh antaranya kos mewujudkan pusat rehabilitasi tersebut dan pulangan yang akan diterima.

Dr Mohammed Azman bagaimanapun yakin pelaburan mewujudkan pusat rehabilitasi satelit adalah berbaloi kerana Perkeso menghargai golongan pekerja dan percaya bahawa mereka akan terus menyumbang kepada masyarakat selepas pulih.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh berdikari kerana jika pekerja ini hilang upaya, seluruh keluarga akan turut terjejas dan itu adalah realitinya,” katanya.

Terdahulu, Dr Mohammed Azman menyampaikan syarahan khas bertajuk ‘Rehabilitasi dan Kembali Bekerja: Bagaimana Negara Menghargai Pekerja Kita?’.

Syarahan menumpukan ekosistem rehabilitasi Perkeso dan Program Kembali Bekerja (RTW) untuk pekerja yang hilang upaya serta cedera, juga mengubah persepi menjadikan Perkeso sebagai jalan terakhir mendapatkan pencen atau pampasan.

Beliau berkata dari 2009 sehingga Februari 2020, sejumlah 30,110 pekerja yang diinsuranskan kembali bekerja di bawah program RTW.

-BERNAMA


Pengarang :