Suasana lengang di sekitar bandar raya George Town dapat dilihat ekoran penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 15 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permintaan merosot, kerajaan digesa tangguh program lawat Malaysia

SHAH ALAM, 16 MAC: Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM) menggesa pihak berkuasa membatalkan dan menunda semua program Kempen Melawat Malaysia 2020.

Presidennya Alwi Shakir Abdullah berkata acara pelancongan tidak akan membantu memulihkan industri itu ketika ini memandangkan kekurangan permintaan susulan Covid-19, lapor Harian Metro.

“Tidak dapat dinafikan krisis Covid-19 mengakibatkan kerugian RM3 bilion kepada negara, namun peningkatan pesakit virus itu juga akan memberi beban kewangan, terutama melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ketika ini, ramai majikan terkesan, terutama sektor penerbangan, perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan, malah da majikan mula menawarkan cuti tanpa gaji sehingga tiga bulan kepada pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alwi berkata, pihak berkepentingan wajar menjalankan kajian serta merangka program yang akan dilaksanakan selepas krisis Covid-19 berakhir.

Katanya, pakej rangsangan ekonomi ketika ini perlu ditumpukan kepada kedua-dua pihak iaitu penawaran (pemain industri) dan permintaan (pengguna).

“Kami juga memohon supaya majikan menyediakan langkah keselamatan serta peralatan perlindungan diri, termasuk persekitaran kerja selamat sebagaimana digariskan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan melalui Akta 514 (Akta Keselamatan Kesihatan Pekerjaan 1994),” katanya.


Pengarang :