AGENDAJENAYAH

Permohonan prosiding hina mahkamah ke atas Ahmad Zahid ditolak

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka hari ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar dan menerima penjelasan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, bahawa terdapat salah faham dalam penggunaan ayat, ketika mengemukakan permohonan penangguhan perbicaraan itu semalam.

“Selepas mendengar daripada peguam bela tertuduh dan menimbangkan permohonan daripada pendakwa raya, saya bersetuju kemungkinan berlaku salah faham antara arahan yang diberikan tertuduh dan peguam bela.

“Saya juga bersetuju kemungkinan berlakunya pilihan perkataan yang salah, ketika mengemukakan permohonan penangguhan dan ini telah menimbulkan salah faham.

“Saya juga mengambil kira permohonan maaf oleh tertuduh, yang telah berlakunya satu salah faham. Dan apa lebih penting lagi janji oleh peguam bela tertuduh yang perkara ini tidak akan berlaku lagi …. saya lihat tiada kes untuk memulakan prosiding menghina mahkamah.

“Sebagai kenyataan umum dan amaran, mahkamah mahu menjelaskan yang pihak mahkamah tidak akan berkompromi terhadap cubaan untuk mengelirukan. Jika terdapatnya maklumat cubaan untuk mengelirukan atau menghina, mahkamah ini dengan jelas tidak akan teragak-agak untuk mengenakan hukuman denda atau penjara,” kata hakim.

Terdahulu, Ahmad Zahid gagal mengemukakan surat yang didakwa diterima dari Pejabat Perdana Menteri (PMO), dengan alasan belum ada pelantikan rasmi dan angkat sumpah dibuat untuk jawatan Setiausaha Politik Perdana Menteri.

“Secara terbuka saya memohon maaf atas kekeliruan dan salah faham yang timbul, dan saya tidak berhasrat langsung untuk ‘mengelirukan’ mahkamah ini. Saya amat menghormati Yang Arif dan menghormati mahkamah yang mulia ini.

“Saya juga ingin menjelaskan perintah tentang surat, saya telah berhubung dengan setiausaha politik. Surat tak dapat dikeluarkan kerana belum ada pelantikan rasmi pegawai berkenaan, dan belum ada angkat sumpah,” katanya dari kandang tertuduh.

Ini susulan penangguhan perbicaraan semalam selepas peguam yang mewakili Ahmad Zahid dilapor memaklumkan bahawa anak guamnya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, mahkamah memanggil kedua-dua pihak pada 4 petang semalam selepas PMO mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik, dijadualkan pada hari itu.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah sedang berlangsung.

– BERNAMA


Pengarang :