PENDAPATRENCANA

Perubahan Iklim: Perkukuh jaminan keselamatan air

Oleh Kurniawati Kamarudin

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tarikh 22 Mac setiap tahun sebagai hari memperingati sumber terpenting dalam kehidupan iaitu air.

Hari Air Sedunia yang disambut sejak 27 tahun lalu bermula pada tahun 1993 bertujuan bagi menyedarkan seluruh masyarakat dunia untuk bersama-sama memberi perhatian terhadap kepentingan air dan menyokong pengurusan mampan sumber air.

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Bersesuaian dengan isu yang menjadi kebimbangan dunia, “Air dan Perubahan Iklim” (Water And Climate Change) menjadi tema sambutan Hari Air Sedunia 2020, sebagai satu usaha berterusan memperkukuh jaminan keselamatan air dunia.

Ia juga bagi meningkatkan kesedaran awam tentang perubahan yang sedang berlaku terhadap atmosfera dan lautan sekeliling yang memberi impak kepada kitaran hidrologi bumi dan seterusnya merubah corak cuaca tempatan.

Perubahan iklim yang berlaku hari ini berikutan peningkatan suhu muka bumi daripada pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan methanol yang berpunca daripada pencemaran.

Peningkatan haba dan pencemaran ini menyebabkan pencairan ais di kutub yang mengganggu kitaran hidrologi bumi hingga meningkatkan paras air laut.

Peningkatan paras air laut juga boleh mengganggu aliran sesetengah sungai manakala sesetengah bandar yang terletak di pesisir pantai juga boleh mengalami banjir.

Jakarta antara bandar yang dikatakan akan terjejas akibat peningkatan paras air laut ini.

Malaysia juga tidak terlepas daripada cabaran dalam menguruskan sumber air terutama kesan daripada perubahan iklim yang berlaku.

Dua aspek utama

Pakar kualiti air, Dr Zaki Zainudin yang ditemu bual Bernama baru-baru ini berkata kesan perubahan iklim kepada kitaran hidrologi di Malaysia secara umumnya berlaku dalam dua aspek utama iaitu apabila hujan, ia turun pada kadar yang sangat lebat dan apabila musim kemarau berlaku ia menjadi sangat kering.

Beliau mengambil contoh banjir besar yang berlaku di Kelantan pada 2015 yang berkemungkinan disebabkan kesan perubahan iklim yang berlaku.

“Walaupun tiada kajian khusus yang mengaitkan ia adalah fenomena perubahan iklim, tetapi kemungkinan itu ada. Sama juga pada tahun berikutnya pada 2016 apabila Sungai Pahang hampir kering akibat daripada fenomena El nino pada masa itu.

“Contoh kesan lain yang berlaku adalah di Sungai Muar yang didapati kawasan air payau di sungai itu semakin mengalir mendekati di hulu sungai. Ini menyebabkan kawasan yang dulunya merupakan kawasan air tawar, telah menjadi kawasan air payau,” jelasnya.

Kesan kepada sumber air bersih

Menurut Zaki, hujan dan panas melampau memberi kesan kepada pengurusan sumber air bersih.

Apabila hujan melampau, kemungkinan berlakunya hakisan adalah lebih tinggi yang akan menyebabkan tanah dan air larian terampai dibawa ke dalam sungai.

“Orang awam memanggilnya teh tarik apabila air sungai menjadi lebih keruh ketika musim hujan. Apabila terlampau banyak sedimen masuk ke dalam sungai, pemendapan sungai akan berlaku dan ini akan menyebabkan sesetengah sungai menjadi cetek, hidupan akuatik di dalam sungai akan tergugat.

“Selain itu pencemar lain yang dibawa air larian juga mungkin masuk ke dalam sungai dengan lebih tinggi lagi pada musim hujan,” katanya sambil menambah, kekeruhan ini akan memberi implikasi kos yang tinggi kepada loji rawatan yang menggunakan bahan kimia bagi membuang sedimen untuk menjadikan air tersebut jernih.

Beliau berkata, musim kering dan kemarau melampau akan menyebabkan paras air sungai berkurangan. Ini akan memberi kesan kepada peranan sungai yang bertindak mencairkan bahan pencemar yang masuk ke dalam sungai.

Dalam erti kata lain, ada kemungkinan sesetengah bahan tercemar yang dilepaskan ke dalam sungai akan meningkat pada musim kemarau yang melampau kerana kekurangan air dan isi padu air sungai itu sendiri.

Fenomena global ini tidak mungkin boleh dihentikan namun apa yang boleh dilakukan adalah meminimumkan impaknya kepada sumber air di Malaysia.

“Mengambil contoh di Sungai Pahang, apabila berlaku kekurangan aliran sungai yang sangat mendadak pada tahun 2016 sehingga sesetengah Sungai Pahang menjadi sangat kering, ada pihak menyatakan ini disebabkan perubahan iklim.

“Kemungkinan betul (sebab perubahan iklim) tetapi pada masa yang sama juga pengurusan lembangan Sungai Pahang itu perlu dilakukan dengan lebih baik lagi terutama pengurusan lebih mampan pembukaan tanah untuk pertanian ladang sawit di kawasan itu,” katanya.

Pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran di kawasan lembangan sungai memberi kesan kepada lembangan sungai sehingga meningkatkan hakisan.

Jika kita boleh tambah baik aktiviti pertanian sedemikian dalam lembangan Sungai Pahang mungkin boleh kurangkan impak perubahan iklim tadi, katanya.

“Ini yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan kesan perubahan iklim kepada sumber air. Jadi jangan kita asyik bercerita menyalahkan fenomena perubahan iklim sahaja. Tetapi kita kena tanya apakah langkah yang boleh mengawal dengan lebih baik untuk membantu kepada pengurusan lembangan sungai yang lebih baik,” katanya.

Kesan perubahan iklim

Data daripada Globalwaters.org menunjukkan 785 juta orang tidak mempunyai akses kepda bekalan air minuman yang minimum manakala bagi mereka yang mempunyai akses sumber bekalan air tersebut tidak menepati piawaian bagi memenuhi keperluan kehidupan.

Berhubung perkara ini, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, perubahan iklim dijangka memberi impak yang signifikan kepada kitaran air.

Malah air merupakan pengantara paling jelas bagi kita untuk melihat impak perubahan iklim.

“Kebolehan air pada ruang dan masa tertentu akan semakin sukar dijangka dengan peningkatan skala insiden banjir dan kemarau yang serius. Ini bakal mengancam kestabilan bekalan air dan kemudahan sanitasi selain meningkatkan pecemaran,” katanya kepada Bernama.

Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan yang lebih serius pada masa akan datang kesan perubahan ini, setiap negeri harus mempunyai sumber baharu sebagai bekalan air mentah.

Beliau berkata, memandangkan air adalah bidang kuasa kerajaan negeri, kerjasama antara kerajaan negeri perlu diwujudkan bagi melihat bagaimana untuk menguruskan lembangan sungai secara mampan bagi memastikan bekalan air akan berkekalan.

“Setiap negeri perlu mengelak persaingan sebaliknya perlu bersama-sama melihat daripada sudut jaminan keselamatan bekalan kepada pengguna melampaui bendera parti,” katanya.

Krisis bekalan air yang membelenggu beberapa negeri dijangka berterusan dan berpotensi menjejaskan hubungan baik selama ini.

Ini kerana bekalan air akan kerap terjejas terutama di kawasan sungai yang terdedah kepada pencemaran.

“Peningkatan suhu meningkatkan pengangkutan bahan cemar manakala perubahan guna tanah menyebabkan isi padu air yang masuk ke sungai semakin berkurangan. Kesemua ini akan menjadikan sungai mudah tercemar dan akan menyebabkan sungai mati dalam masa terdekat,” katanya.

Unjuran perubahan iklim juga menunjukkan impak terhadap kemampanan sektor pertanian dengan hasil tuaian yang dijangkakan berkurangan dan kos pengeluaran semakin meningkat apabila semakin banyak modal diperlukan bagi menangani fenomena peningkatan suhu.

“Sebagai contoh, air yang diperlukan bagi pengeluaran tanaman semakin sukar didapati kerana diperlukan dalam jumlah yang semakin banyak.

“Keadaan ini bertambah serius apabila berlaku kemarau yang menyebabkan pengurangan pengeluaran dan hasil pertanian menjadi semakin mahal,” katanya.

Langkah perlu diambil

Beliau mencadangkan beberapa langkah jangka pendek dan panjang perlu diambil dalam mencapai matlamat memastikan sumber air bersih negara tidak terjejas.

Langkah jangka pendek adalah menghidupkan kembali kempen kesedaran sama ada melalui media sosial atau media cetak dan elektronik dengan tarikan ikon terkenal tentang kepentingan memulihara sumber air.

Namun, katanya, ia haruslah bersifat data driven bagi menilai impak setiap kempen tersebut sebelum langkah seterusnya diambil bagi memastikan kesinambungan usaha pemuliharaan.

Kedua, libatkan Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) atau persatuan penduduk sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dalam mengawal sumber air daripada sebarang aktiviti yang tidak diingini.

Ketiga, beliau mecadangkan agar kerajaan mewujudkan mahkamah khas untuk membicarakan kes alam sekitar denga lebih pantas. Ini tidak terhad untuk membicarakan kes pencemaran semata-mata malahan patut merangkumi pembuangan sisa di tempat yang tidak sepatutnya.

Bagi langkah jangka panjang pula, Yusoff mencadangkan agar penilaian semua semua jenis industri yang bertapak di Malaysia perlu dilakukan.

“Ini bagi memastikan hanya industri yang memberi nilai tambah serta mesra alam sahaja wujud di negara ini,” katanya.

Pelan pemutihan kawasan setinggan atau kilang sama ada berlesen atau tidak berlesen yang wujud di sepanjang rezab sungai perlu dipercepatkan.

Menurut beliau, bagi memastikan pelaku jenayah alam sekitar dapat disabitkan dan dikenakan hukuman setimpal, pendekatan forensik alam sekitar perlu diperkukuhkan dengan tumpuan utama terhadap kes tertangguh melibatkan pencemaran sungai sebelum ini.

“Langkah membawa pesalah ke muka pengadilan juga perlu dilihat sebagai menyampaikan mesej kepada semua tentang ketegasan pihak berwajib.

“Negara memerlukan tenaga baharu yang berani berubah dengan inovasi berorietasikan penyelesaian serta berfikir merentasi sempadan bidang kuasa negeri atau persekutuan.

“Hanya iltizam yang tinggi dibantu rangka perundangan yang cekap serta modal insan yang telus mampu mengubah nasib sungai di Malaysia,” tegas Yusoff.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

– BERNAMA


Pengarang :