Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Negeri Selangor kali ke-7 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 13 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peruntukan RM37.18 juta sekolah agama lonjak Selangor dahului negeri lain

OLEH AMIN RIDZUAN ISHAK

SHAH ALAM, 13 MAC: Peruntukan RM37.18 juta bagi pembangunan sekolah agama termasuk maahad tahfiz selaras hasrat memastikan pendidikan Selangor terus terkehadapan berbanding negeri lain, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata antara pembangunan dilaksanakan ialah pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) Denai Alam dengan kos RM4 juta, SRA Bandar Country Homes (RM6 juta) dan masing-masing RM8 juta bagi Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat serta Pandan Indah.

Katanya, Lembaga Zakat Selangor turut meluluskan permohonan RM5.6 juta bagi pembelajaran digital di semua MITS dan sekolah rendah agama integrasi melalui inisiatif Smart Selangor,.

“Peruntukan besar Kerajaan Negeri untuk memastikan Selangor terus terkehadapan berbanding negeri lain dalam memacu pendidikan dan tamadun peradaban ini.

“Mudah-mudahan kita lebih dihormati dan disegani, di samping menzahirkan kesyukuran kerana dilimpahi rezeki dan ekonomi yang melimpah ruah oleh Allah SWT,” katanya berucap pada Majlis Graduasi Qurra’ MITS kali ketujuh di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 333 graduan menerima sijil masing-masing membabitkan 287 penerima Sijil Khatam Hafazan 30 Juzuk, 10 penerima Sijil Perakuan Hafazan al-Quran dan 36 penerima Sijil Pengajian Turath dan Dakwah.

 


Pengarang :