PBS2020 berlangsung dari 27 Februari hingga 8 Mac 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Ia dibuka dari 10 pagi hingga 9.30 malam (setiap hari) dan 10 pagi hingga 10.30 malam (Sabtu & Ahad).
AGENSISELANGOR

Pesta Buku Selangor pupuk minat membaca

SHAH ALAM, 2 MAC: Pengunjung Pesta Buku Selangor 2020 (PBS2020) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini teruja dengan limpahan bahan bacaan melibatkan semua peringkat umur dengan harga berpatutan.

Guru Taska Asuhan Kanak-Kanak UiTM (TTAUiTM), Ilya Shahira, 24, berkata baginya pesta edisi ke-15 itu boleh membuka minda dan menjadi panduan buat pendidik merancang pelbagai aktiviti menarikn untuk kanak-kanak membaca.

“Pertandingan bercerita bagi kanak-kanak sangat menyeronokkan dan kita boleh lihat bermacam gelagat golongan si cilik yang menyertai aktiviti itu.

“Kita sebagai pendidik tertarik dengan aktiviti itu dan mungkin akan mempraktikkannya semasa sesi pembelajaran dalam kelas,” katanya ketika ditemui SelangorKini baru-baru ini.

Sementara itu, penuntut Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Ahmad Hisyamuddin Md Suhaimi, 22, yang pertama kali mengunjungi PBS memuji pesta bertemakan ‘Jom Baca Buku’ kerana secara tidak langsung menggalakkan minat membaca masyarakat negeri ini.

“Saya tidak sangka PBS2020 meriah kerana sebelum ini saya hanya mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Harga buku ditawarkan berpatutan dan saya hanya membelanjakan RM50 untuk mendapatkan koleksi majalah keluaran Asfara,” katanya.

PBS2020 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor yang bermula 27 Februari hingga 8 Mac telah menyediakan 140 gerai jualan termasuk penyertaan 100 pempamer pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa.

Antara aktiviti menarik sepanjang PBS2020 ialah seminar etnosains Melayu, seminar pemikiran Islam, bengkel magik rubik dan cabaran hotmath, selain slot khas bersama Persatuan The Lost Food Project.


Pengarang :