Seorang kakitangan perubatan berehat di kawasan pandu lalu ujian saringan Covid-19 di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya pada 28 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Petaling Jaya rekod kes Covid-19 tertinggi di Malaysia

SHAH ALAM, 30 MAC: Petaling Jaya merekodkan sebanyak 223 kes positif Covid-19, tertinggi di antara 15 daerah di seluruh negara yang disenaraikan dalam zon merah.

Kementerian Kesihatan berkata ia diikuti Lembah Pantai (219), Hulu Langat (209), Seremban (108), Johor Bahru (105), Kluang (97), Kuching (78), Kota Bharu (76), Kepong (68), Kinta (75), Klang (62), Gombak (59), Titiwangsa (57), Tawau (57) dan Hilir Perak (52).

“Penduduk di kawasan zon merah perlu mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan antaranya hanya ketua keluarga atau wakil boleh keluar membeli barangan keperluan harian, penjarakan sosial dan meningkatkan kebersihan diri serta sentiasa berada di dalam rumah,” katanya di Twitter hari ini.

Daerah yang merekodkan lebih 40 kes ditakrifkan sebagai zon merah yang memerlukan perhatian, zon jingga (20 hingga 40 kes), putih (satu hingga 20 kes) manakala zon hijau bagi kawasan tiada kes.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 2,470 kes positif Covid-19 dan Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 612 kes.

Setakat ini, seramai 388 orang disahkan pulih selepas menjalani rawatan dan kuarantin manakala 35 kematian direkodkan akibat wabak itu.


Pengarang :