AGENDANASIONAL

Petugas dijangkiti Covid-19, SKMM tingkat kawalan

CYBERJAYA, 11 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesahkan menerima pemakluman daripada Kementerian Kesihatan semalam bahawa seorang kakitangannya disah positif Covid-19.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu hari ini, kakitangan berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

“Sebagai langkah proaktif, SKMM sebelum ini telah mengarahkan beliau (kakitangan terbabit) untuk menjalani kuarantin 14 hari di rumah sejak 4 Mac setelah mendapati suaminya mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19,” menurut suruhanjaya itu.

Sehubungan itu, SKMM berkata pengesanan kontak terperinci telah dilaksanakan untuk mengenal pasti dan memaklumkan kepada individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kakitangan terbabit agar menjalani prosedur kuarantin dan saringan kesihatan hari ini.

Pihak pengurusan telah dan sedang berusaha memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di semua premisnya.

Menurut SKMM, antara langkah segera yang dilaksanakan termasuk penyediaan cecair pembasmi kuman di semua tingkat bangunan dan kawasan umum sejak 30 Januari lepas dan pemeriksaan wajib suhu badan di pintu masuk utama bermula 28 Februari lepas.

“Kerja-kerja sanitasi dan pembersihan di Ibu Pejabat SKMM dan bangunan lama sudahpun dijalankan secara berperingkat pada 5 dan 6 Mac, manakala prosedur sanitasi dan pembersihan juga diteruskan di semua pejabat negeri di seluruh negara bermula 9 Mac,” menurut kenyataan itu.

Demi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan membendung penularan virus Covid-19, Pasukan Pengurusan Risiko SKMM telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (PKP) pada 25 Februari.

Antara langkah yang diambil adalah membenarkan kakitangan bekerja dari rumah di samping menyediakan pejabat alternatif di luar Lembah Klang jika diperlukan kelak.

Aspek perancangan sumber manusia diberi perhatian khusus terutama berkaitan fungsi kerja kritikal dan peneraju setiap bidang perkhidmatan yang penting.

SKMM turut menasihati kakitangannya untuk melakukan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter apabila berhadapan dengan individu lain.

Dalam pada itu, suruhanjaya itu turut memperkenalkan skim pembayaran ganti rugi yang diharap membantu kakitangan mengambil keputusan yang tepat berikutan arahan pembatalan semua perjalanan ke luar negara sama ada untuk tujuan rasmi atau peribadi.

“Skim yang julung kali diwujudkan oleh SKMM ini bertujuan mendorong kakitangan mengutamakan kesihatan mereka dan ahli keluarga dengan membatalkan perjalanan peribadi,” menurut kenyataan itu.

Semua operasi di ibu pejabat dan bangunan lama SKMM di Cyberjaya serta pejabat negeri akan berjalan seperti biasa, namun kaunter aduan pengguna akan ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko jangkitan melalui kontak.

Orang awam boleh menyalurkan aduan melalui portal aduan di https://aduan.skmm.gov.my atau e-mel kepada [email protected]

– BERNAMA


Pengarang :