AGENSISELANGOR

Petugas khas Covid-19 guna pantun nasihat orang ramai

SHAH ALAM, 19 MAC: Ahli petugas khas Covid-19 Selangor Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman menggunakan pantun menasihati orang ramai supaya tidak keluar melepak tanpa arah tujuan.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula semalam hingga 31 Mac ini sebagai langkah mencegah penularan wabak tersebut di negara ini.

Pantun itu dilihat menerusi hantaran di Facebook beliau, Adeeba Kamarulzaman:

“Jom Berpantun #Covid-19

Bunga mawar harum semerbak,
Dihadiahkan puteri besar sejambak,
Jika tak mahu Covid merebak,
Hentikan tabiat duduk melepak.

Let’s keep this going (Jom teruskan ini),” katanya.

Menariknya, hantaran itu mendapat 147 tanda suka, 55 komen balas dan 38 perkongsian.

Terdapat pengguna memberi komen balas juga dengan pantun antaranya Suzainur K A Rahman:

“Pergi Temasik beli murtabak,
Jangan dimakan di tanah pamah,
Kalau mahu mengekang wabak,
Diam sahaja di dalam rumah,” katanya.

Manakala Putri Juneita Johari membalas dengan pantun dua kerat:

“Dua tiga kucing berlari,
Duduklah kat rumah 14 hari,” katanya.

Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Tindakan Khas Covid-19 diketuai bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan dianggotai empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri serta Unit Bencana Negeri termasuk Dr Adeeba.


Pengarang :