BUDAYARENCANA

Pisau, pemetik api dan seekor lipas

Oleh Nik Aidil Mehamad

 

Siang: “Matahari muncul, mengeringkan air mata yang membasahi langsir bilik”.

Katakan aku adalah pisau dalam laci almari di dapur. Aku adalah pisau yang melukakannya.

Luka di jari manisnya. Daging jarinya terhiris seperti dia menghiris bebola daging menjadi kepingan-kepingan nipis. Jarinya mengucurkan darah. Kesedaran kepada kesakitan luka itu tidak dirasainya.

Semangkuk soto untuk menu tengah hari kami. Tentunya dengan tambahan kepingan-kepingan bebola daging dalam soto.

Pisau di dapur menghiris jari manisnya lagi. Darah menitis-nitis dalam sinki seperti botol sirap sebelum kubaling ke dinding berada dalam genggaman tangan amarahku – menitis-nitis sirap pekat merah. Dia menahan pedih luka. Makan malam kami dibatalkan.

Ketika darah jari manisnya masih mengucur laju pada malam aku tiada di rumah. Panggilan telefon darinya kujawab. Suaranya gementar. Dia mengatakan kepadaku bahawa darah dalam tubuhnya berkurangan. Aku tidak percaya.

Telefon pintar terlucut dari genggaman tangannya. Kedengaran kepalanya terhantuk di bucu meja. Aku memanggilnya beberapa kali. Dia tidak lagi menjawab dan bunyi pancutan air akuarium dalam rumah kami masuk ke dalam corong telefon pintarku.

Jika dia masih tidak lupa, kejadian itu sering berlaku pada tahun pertama perkahwinan kami. Dia akan merengek meminta aku mencuci luka dengan iodin. Biarpun keghairahannya berada di dapur, memasak masakan yang selalu saja buat jiran sebelah kami lapar dengan tiba-tiba.

Sejak itu aku mengurangkan buku-buku fesyen dalam rumah dan melanggan lebih banyak buku masakan secara atas talian. Resipi masakan dunia yang kadangnya terasa agak aneh untuk lidah aku merasainya.

Pada pagi jerebu menggila, setelah agak lama aroma masakan tidak bertebaran dalam rumah ini. Dia mengejutkan aku lagi dengan kecelakaan baru. Apron putih susu yang melekat di badannya berlumuran dengan darah. Isteriku membelakangi Kanye West dalam kaca televisyen.

Kecelakaan baru pagi ini, katanya. Aku sambut kata-kata itu dengan merangkul tubuhnya. Tidak mungkin lagi aku dengar dari mulut doktor, “Tubuh isterimu kekurangan darah”. Badanku lemah apabila aku panik. Pemanduanku merosot apabila aku dalam kepanikan yang sarat di dalam dada.

Tiga puluh minit kemudian, selepas aku menekan butang merah pada skrin telefon pintar. Van ambulans datang dengan sirennya yang nyaring di hadapan rumah. Lantai mozek di bahagian dapur dan ruang televisyen berlumuran dengan darah. Bau hanyir darah bertebaran dalam rumah. Makan tengah hari kami ditunda hari itu.

Pemandu van ambulans panas hati denganku. Dia ingin maki aku pada mulanya, namun dia lupakan – rayuan aku dituruti. Van ambulans menuju ke sebuah restoran dan menunggu kami di hadapan restoran. Lampu siren tidak dimatikan. Cahaya siren menampar-nampar pipi kami yang berada dalam restoran ketika Maghrib baru lahir.

Kami menunggu pesanan sampai ke meja. Dia tidak lagi kepucatan. Darah di jari manisnya mula berhenti mengalir.

Ia menjeratku – seolah-olah aku adalah pisau di dapur yang selalu saja akan disimpannya dalam laci almari dapur selepas saja masakan siap terhidang di atas meja makan.

Malam: “Matahari menghilang, lipas dalam gerobok baju pun keluar berpesta”

Dia baling kasut tumit tujuh incinya ke arah lampu kalimantang dalam bilik.

Aku dan dia teraba-raba mencari pemetik api. Aku memarahinya berkali-kali dalam kegelapan. Kemarahan itu dibalasanya dengan dengusan nafas yang tidak putus-putus keras seperti dia diminta untuk sengaja membazirkan tenaganya untuk menggelapkan bilik ini.

Bilik tidur kami gelap dan emosi kami pelan-pelan padam.

Tololnya, aku lupa kali terakhir aku mengeceh pemetik api untuk sedutan rokok yang pertama malam ini. Dia memarahiku kerana aku lupa meletakkan pemetik api. Aku pula memarahinya kerana kasut hadiah ulang tahun perkahwinan dibalingnya untuk menggelapkan bilik ini.

Kami tidak pernah tidur dengan lampu tidur. Kami suka lena dalam gelap. Jika ada orang asing dalam bilik masuk seperti pencuri – kami tidak akan rasa takut kerana apa yang dilihat selalunya akan menambahkan ketakutan. Jadi kami biarkan lena kami dalam kegelapan.

Pada suatu malam, aku pura-pura dengkur kerana aku juga dengar apa yang dia dengar. Isteriku mendengar jejak kaki seseorang dalam bilik.

Dia menyiku perutku beberapa kali. Selimutnya ditarik membaluti seluruh tubuhnya. Juga kepalanya tenggelam dalam selimut seperti pocong. Aku jadi takut dengan isteriku pada waktu itu daripada susuk asing yang berlegar dalam bilik tidur kami.

Boleh jadi malaikat yang datang singgah bilik kami. Gampangnya bukan malaikat.

Dia bangun keesokan paginya dan menuju ke tandas dengan muka mamai. Isteriku sasau. Jeritannya menggegarkan apartmen kami. Aku terjaga dan bilik tidur kami sangat Zen – yang tinggal hanya tabung van Combi seramik kuning di atas meja solek.

“Awak ingat tak peristiwa malam pencuri mengosongkan bilik kita?” tanya aku kepadanya yang sedang duduk di hadapan meja solek.

“Saya tak lupa tetapi ada hal yang lagi penting untuk awak selesaikan malam ini, di mana awak letak pemetik api?” balasnya.

Seekor lipas merayap di pahaku. Masuk ke dalam pijama yang kupakai. Pijama sudah seminggu tidak dibasuh dan aku dapat rasakan lipas yang kupicit mengeluarkan jus – meleleh.


Pengarang :