Foto Sumber: I – Property
AGENDANASIONAL

PKP Diperketatkan diisytihar di Menara City One sehingga 13 April

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, mulai tengah malam ini hingga 13 April depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu diambil susulan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 17 kes positif jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

“PKPD ini melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara terbabit.

“Menerusi langkah ini, kita dapat membendung penularan wabak Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, dengan pelaksanaan perintah itu semua penduduk dan pelawat yang berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan (essentials) di menara tersebut. Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

“Sementara Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan perintah tersebut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan berkata polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan terbabit.

“Semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-26943243/03-40267222/0133295141.


Pengarang :