Selangorkini
Wakil LZS menyerahkan barang keperluan kepada asnaf ketika Program Khidmat Masyarakat dan Ziarah Asnaf di Kampung Sentosa, Batang Kali, Hulu Selangor pada 21 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

PM harap semua pusat zakat bantu insan terjejas

PUTRAJAYA, 25 MAC: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pusat-pusat pungutan zakat di setiap negeri mengambil langkah proaktif membantu asnaf yang sedang menghadapi kesukaran hidup ketika langkah mengekang wabak Covid-19 sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, ini termasuk membantu mereka yang terjejas pendapatan ketika keadaan ekonomi pada masa ini walaupun mereka tidak disenarai sebagai asnaf.

“Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat,” katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial hari ini.

Perdana Menteri berkata, pada mesyuarat Kabinet hari ini, beliau telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk menggerakkan jentera Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak disalurkan bantuan zakat dengan kadar segera.

Pada masa sama, beliau menyeru organisasi kebajikan agar turut memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya memanggil semua organisasi kebajikan di negara ini untuk tampil ke hadapan bagi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama sepanjang tempoh sukar ini.

“Kesukaran yang dihadapi mereka adalah di luar jangkaan. Dan saya percaya anda semua boleh melakukan sesuatu yang bermakna untuk mengurangkan beban mereka,” kata beliau.

Dalam perutusan sama, Muhyiddin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April, 2020.

Pelanjutan tempoh itu diumum lebih awal supaya rakyat dapat lebih bersedia, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :