Perutusan Khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai wabak Covid-19 yang disiarkan melalui stesen televisyen utama mendapat tumpuan pada 13 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM: Kerajaan tambah bilangan hospital rawat Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Dalam usaha menangani penularan Covid-19 yang kini mengancam dan membimbangkan masyarakat dunia, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menggariskan beberapa tindakan bagi Malaysia mendepani jangkitan itu.

Menyedari negara berdepan peningkatan kes dalam gelombang kedua wabak, perdana menteri berkata kerajaan akan meningkatkan bilangan hospital bagi merawat kes berkenaan.

Beliau berkata sehingga kini, 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes Covid-19.

“Di samping itu, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit Covid-19,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi stesen televisyen malam ini.

Beliau berkata kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan hospital universiti dimulakan sebagai persediaan untuk menerima pertambahan kemasukan pesakit kes Covid-19.

Muhyiddin berkata kemampuan makmal untuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 juga ditingkatkan, termasuk 22 buah makmal di bawah Kementerian Kesihatan dan makmal lain di bawah Kementerian Pertahanan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengawal penularan wabak ini, Malaysia masih berdepan dengan peningkatan kes Covid-19, dan dalam gelombang kedua ini terdapat 175 kes.

Malaysia mencatatkan 22 kes pada gelombang pertama dengan catatan kes positif koronavirus di negara ini bermula pada 25 Januari.

Pada 11 Mac, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan wabak Covid-19 sebagai pandemik kerana terdapat peningkatan kes yang ketara di seluruh dunia.

Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas sebagai langkah berjaga-jaga berhubung penularan Covid-19 pada 12 Mac 2020. Foto BERNAMA

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa langkah penting yang perlu diambil bagi mengekang jangkitan Covid-19 adalah sekatan perjalanan.

“Kerajaan akan meneruskan sekatan perjalanan untuk tiga wilayah di China iaitu Hubei, Jiangsu dan Zhejiang; Hokkaido, Jepun; Itali, Iran dan Republik Korea. Rakyat Malaysia dinasihatkan tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas dengan virus Covid-19,” katanya.

Perdana menteri turut menegaskan kapal persiaran hanya dibenarkan berlabuh untuk penambahan bekalan dan hanya kru warganegara tempatan dibenarkan turun dari kapal dan mereka dikehendaki melalui saringan kesihatan.

Beliau berkata kerajaan Perikatan Nasional amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara terjejas teruk dengan wabak Covid-19 seperti di China, Iran, Itali dan Korea Selatan.

Kerajaan Malaysia menggerakkan dua Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Wuhan di wilayah Hubei, China, masing-masing pada 4 Februari yang membawa 107 rakyat Malaysia dan pasangan serta anak bukan warganegara; serta 68 rakyat Malaysia serta pasangan dan anak bukan warganegara pada 26 Februari.

“Seramai 65 orang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin yang sedia maklum dengan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap situasi semasa gelombang kedua penularan COVID-19 menegaskan, beliau diberikan laporan harian mengenai Covid-19 oleh Jawatankuasa Khas yang dipimpin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membolehkan langkah-langkah terkini diambil untuk menghadapi segala kemungkinan yang boleh berlaku.

“Berhadapan dengan situasi ini, saya menasihatkan saudara dan saudari mengambil langkah bagi menghindarkan diri sendiri, anak-anak serta keluarga daripada dijangkiti wabak ini.

“Paling utama ialah amalkan penjagaan kesihatan yang tinggi dengan sentiasa bersihkan diri, menggunakan topeng muka dan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) serta kurangkan bersentuhan dan bersalaman,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial serta keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April.

Katanya dalam situasi berkaitan, bekalan barang keperluan rakyat dijamin mencukupi dan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah pencegahan termasuk membatalkan sebarang bentuk perhimpunan bagi mengelakkan penularan penyakit ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani Covid-19.

“Saya berdoa semoga wabak ini berjaya ditangani dengan segera dan kita semua dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan rasa selamat,” katanya mengakhiri ucapan.

-BERNAMA


Pengarang :