Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra pada 27 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM umum Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat RM250 bilion

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana dan RM2 bilion memperkukuhkan ekonomi negara.

“Semua itu tambahan kepada RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata pakej tersebut yang akan meringankan beban rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merangkumi:

-RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada April dan RM600 pada Mei

-RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada April sebanyak RM500 dan baki RM500 pada Mei

-RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah. Bayaran RM500 akan dibayar pada April dan baki RM300 pada Mei

-RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran sebanyak RM250 akan dibuat pada April dan baki RM250 pada Mei

-Meningkatkan elaun khas petugas kesihatan daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April sehingga wabak berakhir

-Memanjangkan elaun khas RM200 sebulan kepada tentera, polis, kastam, imigresen, angkatan pertahanan awam serta RELA yang terlibat PKP

-RM500 kepada 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak yang dibayar pada April

-RM500 kepada 850,000 pesara kerajaan yang dibayar pada April

-RM200 seorang kepada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi, politeknik dan kolej komuniti

-RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing yang dibayar pada April

-Internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh PKP tamat

-Tenaga Nasional Berhad memberi diskaun berperingkat antara 15 hingga 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan

-Kerajaan menanggung gaji 80,000 pekerja kontrak bagi sekolah, institusi pengajian dan agensi kerajaan sepanjang tempoh PKP melibatkan peruntukan RM110 juta

-Kerajaan setuju memanjangkan manfaat mySalam kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI)

-Syarikat insurans dan takaful keluarga tawar penangguhan bayaran premium untuk tiga bulan bagi pencarum terjejas

-Penangguhan bayaran balik peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran selama enam bulan mulai April yang memanfaatkan 174,500 orang

-750,000 pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibenar menangguh pembayaran ansuran cukai selama tiga bulan mulai April

-RM100 juta untuk menyediakan tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman

-Pengecualian bayaran sewa selama enam bulan mulai April yang memberi manfaat kepada 3,636 penyewa rumah projek perumahan rakyat dan perumahan (PPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

-Pengecualian bayaran sewa selama enam bulan mulai April yang memberi manfaat kepada 4,649 pembeli skim sewa milik PPR


Pengarang :