Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PNS, SSM laksana basmi kuman kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) mengambil langkah proaktif bagi mencegah warga kerjanya terdedah kepada jangkitan Covid-19 dengan melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman di Menara PNS di Bangsar Selatan.

PNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa proses pembersihan dan pembasmian kuman itu dijalankan pada 5 hingga 8 Mac bertujuan memastikan persekitaran yang bersih untuk pekerja, penyewa dan pelawat.

“PNS juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan Covid-19 dengan memeriksa suhu badan setiap warga kerja, penyewa dan pelawat sebelum memasuki Menara PNS dan menyediakan pembersih tangan di dua kaunter utama bangunan,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) sebagai langkah persediaan untuk mengatasi krisis Covid-19 dan pasukan itu bertanggungjawab memantau keadaan selain memberi peringatan dan arahan tindakan kepada semua warga kerja dan penyewa.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan ibu pejabatnya di Menara SSM, Sentral Kuala Lumpur akan melalui kerja-kerja nyah kuman atau sanitasi menyeluruh pada Ahad ini.

“Bagi memastikan pelaksanaan sanitasi yang optimum, pelanggan SSM dinasihat untuk tidak melawat ibu pejabat SSM pada 12 dan 13 Mac. Tindakan ini diambil sebagai langkah pencegahan dan kesediaan terhadap COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Sebagai alternatif, orang ramai digalakkan untuk menggunakan kemudahan dalam talian SSM dan mengelak daripada menggunakan perkhidmatan kaunter di Menara SSM.

-BERNAMA


Pengarang :