Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditemui media selepas tinjauan sekatan jalan raya oleh anggota polis di Kampung Sungai Lui, Batu 21, Hulu Langat pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Polis guna dron pantau kawasan PKP Diperketatkan – KPN

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Polis menggerakkan unit dron pasukan itu bagi menjalankan pemantauan di tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dikenakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata penggunaan dron lebih selamat untuk memantau keadaan keseluruhan kediaman penduduk yang terlibat.

“Ini (penggunaan dron) adalah paling selamat dan kami telah pun terbangkan dron ke sana untuk melihat muka bumi dari atas supaya anggota dapat memahami taburan penduduk di kawasan itu.

“Data ini juga dapat membantu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Batu 21 Sungai Lui, hari ini.

Jelasnya lagi, penggunaan dron juga dijalankan di dua lokasi di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang lebih awal dikenakan PKPD iaitu bermula tengah malam 27 Mac.

Abdul Hamid berkata, kira-kira 50 anggota polis ditugaskan menjalankan kawalan di dua lokasi sekatan jalan raya di Jalan Sungai Lui iaitu di Batu 21 dan Batu 24 yang menghala keluar ke Semenyih dan Jelebu, Negeri Sembilan.

“Setakat ini persediaan anggota kami di sini berada di tahap yang terbaik. Sebuah dewan serba guna berhampiran akan kita gunakan sebagai pusat menyimpan bekalan makanan dan bilik gerakan polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 13 April, melibatkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah daripada tujuh kampung.

-BERNAMA


Pengarang :