BERITA UTAMASELANGOR

Polis lancar Op Covid-19, pastikan rakyat patuh Perintah Kawalan

SHAH ALAM, 18 MAC: Polis Selangor melancarkan Op Covid-19 bagi memastikan rakyat di negeri ini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmad berkata ops yang bermula 8 malam ini memfokus kepada lokasi tumpuan ramai di seluruh negeri terutama bandar besar.

“Untuk malam ini, fokus kita adalah dengan menasihati, memberi penerangan serta kefahaman mengenai kepentingan orang ramai untuk patuh kepada perintah ini. Seramai 100 anggota terlibat dalam ops terbabit.

“Kita akan ke lokasi tumpuan ramai seperti pusat peniagaan termasuk di kawasan perumahan bagi memastikan orang ramai tidak berada di tempat yang tidak sepatutnya sepanjang tempoh perintah kawalan berkuat kuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata ibu pejabat polis daerah di seluruh Selangor juga diarahkan membuat sekatan jalan raya di kawasan masing-masing bagi memastikan tiada orang keluar dari rumah tanpa alasan yang munasabah.

Fadzil berkata untuk peringkat awal ini, polis mengambil pendekatan menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan yang ditetapkan dan tidak mengenakan tindakan seperti yang tertakluk di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Bila kita akan menguatkuasakan akta berkenaan, ia terpulang kepada pihak atasan. Buat masa ini, kita akan memberi penerangan dan pemahaman terlebih dahulu kepada masyarakat kerana kita tahu, masih ramai yang keliru dan kurang faham mengenai perintah ini,” katanya.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara yang berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Mac dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara, termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial serta kebudayaan.

-BERNAMA


Pengarang :