AGENDAJENAYAH

Polis tunggu laporan perubatan kes dera anak angkat usahawan kosmetik

PETALING JAYA, 7 MAC: Polis menunggu laporan perubatan anak angkat seorang usahawan kosmetik terkenal sebelum mengambil tindakan lanjut, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata beberapa individu termasuk usahawan itu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Kita sedang tunggu laporan dan akan lihat tindakan selanjutnya termasuk menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat pendakwa raya dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas Program Pencegahan Jenayah dan Mini Townhall ‘Malaysiaku Aman dan Selamat’ di sini, hari ini.

Polis sebelum ini menahan usahawan kosmetik terkenal itu selepas didakwa memukul dan mendera anak angkatnya berusia dua tahun di sebuah rumah di Petaling Jaya, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata kadar indeks jenayah di Selangor turun 7.2 peratus pada tahun lepas berbanding 2018.

“Sebahagian kejayaan ini merupakan usaha dan peranan masyarakat yang bersama pihak polis membanteras jenayah selain kempen kesedaran yang dipergiatkan bagi membendung jenayah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :