AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PPj nafi audio tular dakwa Putrajaya dilanda Covid-19

PUTRAJAYA, 8 MAC: Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini menafikan audio yang tular dalam media sosial yang mendakwa bahawa Putrajaya kini dilanda jangkitan Covid-19.

Dalam kenyataan rasminya di Facebook, PPj menasihati orang awam agar tidak terpedaya dengan laporan audio berdurasi 44 saat berkenaan yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.

“Keadaan seperti biasa di Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, dakwaan mengatakan Putrajaya telah dilanda Covid-19 dengan Hospital Putrajaya sesak dan staf-staf dijangkiti dan disyaki dijangkiti tidak menggambarkan situasi sebenar di Putrajaya dan dikhuatiri akan menimbulkan panik.

“Keadaan di Putrajaya adalah seperti biasa dan orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan langkah berjaga-jaga sebagaimana disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

PPj turut menasihatkan orang awam untuk mengambil sikap bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih.

– BERNAMA


Pengarang :