ADNSELANGOR

Program Bank Makanan Bergerak, bantu penduduk terputus bekalan

SHAH ALAM, 24 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua melancarkan program Bank Makanan Bergerak bagi membantu penduduk terputus bekalan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN), Edry Faizal Eddy Yusof berkata program dilancarkan petang semalam itu sepatutnya dilaksanakan April ini bersama Majlis Perbandaran Kajang.

“Bagaimanapun, disebabkan keadaan terdesak kerana ada penduduk yang terputus bekalan makanan, kita terpaksa lancarkan program ini lebih awal.

“Penduduk akan menerima makanan seperti beras, minyak, biskut, kicap dan keperluan lain untuk tempoh seminggu dua ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kata Edry Faizal penduduk hanya perlu membuat permohonan melalui WhatsApp di nombor 011-3904 9035 sebelum bantuan dihantar terus ke rumah mereka bermula hari ini.

“Kita yakin bekalan pada progam ini mencukupi namun sekiranya permintaan terlalu tinggi, kita akan utamakan warga emas, orang kelainan upaya dan ibu tunggal,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat sokongan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Melalui Twitternya, Amirudin berkata inisiatif ADN Dusun Tua itu merupakan antara usaha kerajaan Selangor untuk membantu penduduk.


Pengarang :