Murid di sebuah sekolah di Shah Alam ditunjukkan cara menanam dan menjaga pokok pada program Dusun@My Sekolah pada 4 Mac 2020. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Program Dusun@My Sekolah pupuk cinta alam sekitar

SHAH ALAM, 11 MAC: Sejumlah 117 pokok buah-buahan ditanam di sekolah rendah dan menengah di bandar raya ini menerusi program Dusun@My Sekolah pada 4 Mac lalu, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Shahrin Ahmad berkata, inisiatif ini bertujuan memupuk rasa cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda selain memberikan pendedahan mengenai teknik penanaman serta penjagaan pokok.

“MBSA berharap program ini menjadi platform kepada komuniti untuk berganding bahu menjaga alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program Dusun@My Sekolah siri pertama tahun ini melibatkan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail Jaya dengan penanaman 27 pokok, Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra (37 pokok), Sekolah Kebangsaan Bestari (23 pokok) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari (30 pokok).

Seramai 5,444 pelajar dan murid terlibat dalam program siri pertama ini dengan penanaman pokok seperti cermai, belimbing, mangga, rambutan, durian belanda, mangga dan limau kasturi.

Program Dusun@My Sekolah mula dilaksana pada 2013 dan diteruskan sehingga sekarang. Pada tahun lepas sebayak 3,007 pokok berjaya ditanam di sekolah-sekolah.


Pengarang :