AGENDANASIONAL

Ramai majikan di Kelantan tidak daftar, carum dengan Perkeso

KOTA BHARU, 2 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan mendapati masih ramai majikan di negeri ini yang masih belum berdaftar dan membuat caruman dengan pertubuhan itu.

Pengarahnya Nora Yaacob setakat ini sebanyak 21,000 majikan di negeri ini yang telah berdaftar dengan pihaknya bagi menjaga kepentingan pekerja masing-masing.

“Dari jumlah itu sebanyak 13,000 sehingga 16,000 yang aktif mencarum dan selebihnya tidak aktif dan jumlah ini menunjukkan masih ramai majikan tidak membuat caruman,” katanya selepas melancarkan Ops Kesan di Pejabat PERKESO Kelantan di sini, hari ini.

“Sebagai contoh di Kota Bharu lebih kurang 30 peratus, Pasir Puteh pula 50 peratus majikan yang daftar dan mencarum dengan pihak kami.

“Kebanyakan majikan yang tidak berdaftar dan mencarum daripada sektor peruncitan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), gerai makan dan kontraktor,” katanya.

Nora berkata Ops Kesan yang dilancarkan hari ini diharapkan memberi isyarat epada majikan untuk berdaftar dan mencarum untuk menjaga kebajikan pekerja mereka.

“Tahun lepas sebanyak 48 kompaun dikenakan dengan bayaran RM36,500 terhadap majikan yang tidak berdaftar dengan kami.

“Tindakan kompaun itu dilakukan di bawah Seksyen 95 Akta Keselamatan Pekerja 1969 yang membawa hukuman denda RM500 sehingga RM4,000,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :