Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rapid test kit lambat kesan Covid-19 – Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian teknik rapid test kit (RTK) dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat pengamal perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana ia berpotensi menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi.

“Ujian melalui teknik RTK yang kini terdapat di pasaran adalah bagi mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan yang dialami. Antibodi muncul di dalam badan sekitar lima hingga lapan hari selepas jangkitan.

“Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak dapat mengesan virus dan membuat pengesahan pantas jangkitan. Ini menyebabkan ia tidak dapat membantu dalam pengesanan awal kes Covid-19. Justeru, ujian RTK yang mengesan antibodi tidak disarankan untuk tujuan diagnosa Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan kehadiran virus Covid-19 yang terdapat dalam badan pesakit.

Sekiranya, ujian rRT-PCR Covid-19 didapati positif, ia bermaksud individu tersebut telah dijangkiti Covid-19.

“Keputusan ujian yang tepat melalui teknik rRT-PCR adalah amat penting dalam pengurusan pesakit Covid-19 yang berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar tidak mendiskriminasi jemaah tabligh susulan terdapat kejadian penularan Covid-19 daripada kluster tersebut, sebaliknya bersama-sama membantu KKM mengesan kontak rapat dalam kalangan mereka.

“Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh, janganlah kita diskriminasikan jemaah tabligh, janganlah kita stigmakan jemaah tabligh. Apa yang penting, adalah kita bantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata KKM dengan kerjasama MERCY Malaysia memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada rakyat terutama kepada petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan emosi daripada kejadian Covid-19.

Mereka boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut dengan menghubungi talian 011-6399 6482 / 011-6399 4236 / 03-2935 9935 yang beroperasi dari 8 sehingga 5 petang setiap hari.

Sekiranya tidak sihat, orang ramai boleh menghubungi virtual health advisory dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada 9 pagi melalui pautan berikut bagi mendapatkan khidmat rundingan: http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus.

– BERNAMA


Pengarang :