Keadaan ruang memproses makanan ketika operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor yang mengesan penggunaan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sebuah premis memproses makanan di Batu Lima Kampung Jawa Klang, 10 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Rempeyek tanpa sijil sah dirampas

KLANG, 10 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 2,100 unit produk makanan, kerana didapati menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu serbuan hari ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata serbuan ke atas premis di Jalan Kebun Nenas di sini, dilakukan kira-kira pukul 3 petang bersama enam pegawai Jabatan Agama Islam Selangor, hasil risikan dua minggu lepas.

“Siasatan mendapati, premis yang diusahakan peniaga tempatan itu mengeluarkan tiga jenis produk makanan iaitu rempeyek, biskut pulut dan roti pong yang mempamerkan logo halal tidak diiktiraf Jakim dan juga logo halal Jakim palsu pada bungkusannya.

“Premis ini telah beroperasi lebih 10 tahun dan pernah diperiksa serta dinasihatkan supaya memohon sijil halal yang diperakui namun pengusaha gagal melakukannya. Disebabkan itu, produk makanan untuk pasaran tempatan dianggarkan bernilai RM12,774 berkenaan dirampas,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Zikril Azan berkata kes disiasat mengikut Peraturan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan seorang lelaki berumur 50-an dipercayai pemilik premis, diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

Mengulas mengenai tahap kebersihan premis tersebut, beliau berkata pihaknya akan membuat laporan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk tindakan lanjut, kerana ia didapati tidak mencapai piawaian sewajarnya sebagai pengeluar produk makanan.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa peka dengan logo halal yang tertera pada bungkusan makanan bagi mengelakkan mereka berasa ditipu oleh pengeluar makanan.

– BERNAMA


Pengarang :