Notis penutupan premis berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Bandar Baru Ampang ketika tinjauan pada 21 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Restoran, kedai serbaneka beroperasi sehingga 12 tengah malam

SHAH ALAM, 21 MAC: Restoran, warung dan kedai serbaneka hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata arahan itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 31 Mac ini seperti diputuskan mesyuarat koordinasi ‘Selangor Gempur Covid-19’ Jumaat lalu.

Beliau berkata Selangor turut menggerakkan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu pelaksanaan perintah.

Kawalan tambahan perkhidmatan Selangor juga menetapkan, penjaja kecil, kendera saji dan medan selera tidak dibenarkan beroperasi manakala makan di restoran dalam hotel juga tidak dibenarkan.

Bahagian peruncitan dan makanan sahaja dibenarkan beroperasi di pasar raya sehingga 12 tengah malam sementara pasar awam atau pasar borong pula boleh beroperasi dari jam 5 pagi hingga 4 petang.

Operasi berkenaan turut membenarkan perkhidmatan penghantaran dan bilangan pembeli setiap keluarga perlu dihadkan.

Pasar malam atau pasar tani pula tidak dibenarkan beroperasi sehingga 31 Mac.

Stesen minyak dibenarkan beroperasi termasuk urusan pengeluaran, penapisan, penyimpanan, pembekal atau pengedaran.

Bagi pentadbiran am dan lain-lain hanya dibenarkan beroperasi pada kadar minima atau bekerja dari rumah dan operasi kedai serbaneka di stesen minyak pula dihadkan sehingga 12 tengah malam sahaja.

Perkhidmatan pembaikan dan kedai alat ganti dibenarkan dari 9 pagi hingga 4 petang manakala perkhidmatan tunda masih dibenarkan.

Operasi dobi, dobi layan diri, pusat cucian kereta atau motosikal tidak dibenarkan sepanjang tempoh ini.


Pengarang :