AGENDAEKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.4180/4250 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini apabila para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah penularan pantas Covid-19 dan penurunan harga minyak dunia, kata para peniaga.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan turun kepada 4.4180/4250 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3947/4012 pada Jumaat minggu lepas.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata para pelabur merasa bimbang pada pagi ini berikutan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia.

“Penularan pantas wabak itu telah menyaksikan langkah pembendungan yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan aktiviti dunia seolah-oleh terhenti.

“Peniaga kini menjangkakan kemelesetan global yang teruk apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengambil pendekatan drastik untuk membendung pandemik itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Innes berkata meskipun situasi di China, Korea Selatan dan Singapura nampaknya telah terkawal, data terbaharu menunjukkan virus itu telah merebak ke negara-negara ASEAN lain dan India.

Seorang peniaga lain berkata penurunan harga minyak dunia di bawah US$20 setong juga menjejaskan ringgit.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent turun 1.66 peratus kepada US$28.52 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0293/0350 daripda 3.0303/0369 pada paras penutup Jumaat minggu lepas, naik berbanding euro kepada 4.7131/7224 daripada 4.7204/7303 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.1253/1352 daripada 5.1926/2042.

Bagaimanapun ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.9895/9973 daripada paras penutup 3.9811/9898 pada Jumaat minggu lepas.

-BERNAMA


Pengarang :