Selangorkini
AGENDA EKONOMI

Ringgit diniaga 4.3800/3950 berbanding dolar AS

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini susulan langkah kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menampan impak COVID-19 berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam.

Pada 9.00 pagi ini, ringgit berada di paras 4.3800/3950 berbanding dolar AS daripada 4.3838/3670 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata peningkatan sentimen itu tetap ketara walaupun ekonomi Malaysia yang perlu menanggung impak susulan keputusan kerajaan melanjutkan PKP.

“Namun, dengan sokongan dasar yang mantap oleh BNM dan kerajaan, terdapat andaian bahawa ini akan membantu ekonomi pulih dengan lebih pantas.

“Malah, ia merupakan satu perkembangan dinamik di pasaran mata wang Asia berikutan pendirian pelabur yang meminati langkah tegas seperti kawalan pergerakan itu yang diharapkan dapat melenyapkan virus itu dengan lebih pantas,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada Rabu, BNM mengumumkan langkah moratorium atau penangguhan automatik terhadap semua pembayaran balik pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana serta individu selama enam bulan bermula 1 April ini.

Namun, ini tidak termasuk baki terkumpul kad kredit.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.0242/0356 daripada 3.0328/0364 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1969/2164 daripada 5.2473/2530.

Ringgit bagaimana pun susut berbanding yen Jepun kepada 3.9545/9691 daripada 3.9334/9384 dan rendah berbanding euro kepada 4.7825/8007 daripada 4.7516/7577, sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :